Berdasarkan pandangan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dikeluarkan pada 4 September 2025 dan keputusan fatwa oleh beberapa pihak berkuasa agama negeri, iaitu Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah pada September dan Oktober 2025, penilaian zakat bagi dana harga tetap ASNB termasuk ASB, adalah menggunakan kaedah pengiraan al-Mustaghallat secara kolektif (khultah).
Ringkasan:
Kaedah pengiraaan al-Mustaghallat ialah kadar zakat yang dikenakan ke atas pengagihan pendapatan, tidak termasuk prinsipal pelaburan. Kadar zakat yang digunakan ialah 2.57%.
Pembayaran zakat secara kolektif (khultah) ialah zakat yang dikenakan ke atas jumlah dividen terkumpul bagi pemegang unit yang memilih untuk menerima dividen bersih selepas zakat, yang mana akan dibayar oleh ASNB bagi pihak pemegang unit berkenaan.
Selaras dengan pandangan hukum dan keputusan fatwa tersebut, ASNB akan menawarkan kemudahan kepada pemegang unit dana harga tetap beragama Islam untuk memilih menerima dividen bersih selepas ditolak zakat (iaitu selepas penolakan zakat menggunakan kaedah al-Mustaghallat). Kemudahan zakat khultah ini disasarkan untuk dilaksanakan pada pertengahan tahun 2026.
Sebelum pelaksanaan zakat khultah, pemegang unit ASB mempunyai pilihan untuk menggunakan kaedah al-Mustaghallat bagi tujuan pengiraan zakat individu. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja kemudahan zakat khultah dilancarkan, pemegang unit hanya boleh menggunakan penilaian zakat al-Mustaghhallat secara kolektif (khultah) sahaja.
Berikut ialah contoh pengiraan kadar bersih pengagihan pendapatan menggunakan kaedah al-Mustaghallat.
Kadar Pengagihan Pendapatan ASB: 5.75%
Kadar Pengagihan Pendapatan Bersih:
5.75% - (2.57% x 5.75%) = 5.60%
Untuk butiran lanjut mengenai penilaian zakat al-Mustaghallat secara kolektif ini, sila layari mikrosite ASNB di sini:
https://www.asnb.com.my/V2/zakat.php